Sabtu, Maret 18, 2006

Semut, dia dan kekasih

Semalam dia merajuk. Kenapa merajuk? Kekasihnya telah melakukan sesuatu yang melukakan hatinya. Kekasihnya tidak pandai hendak memujuk. Lalu dirujuk kepada kawan-kawan yang berhampiran untuk diberi pendapat serta nasihat.

Bila dia merajuk, macam-macam perkara yang tak munasabah dibuatnya. Bakar kertas lah, minum kopi tanpa gula, bermain dengan pemetik api sehingga habis gas pemetik api tersebut, dibuka casing handphone dan membiarkan handphone itu dalam keadaan telanjang, baju dicurah dengan kicap Tamin, dan bermacam-macam lagi perkara yang tak masuk dek akal akan dia lakukan.

Dia bukannya budak kecil lagi. Bukan juga ingusan. Bukan juga setahun jagung. Dia sudah akil baligh. Bahkan sudah lama akil baligh. Juga sudah mempunyai kekasih hati. Namun, kalau merajuk, kalah perempuan anak lima. Apa yang dia nak?

Kelmarin dia tak merajuk. Dia dan kekasihnya pergi shopping di pasaraya yang terdekat. Dia di sebelah kiri, kekasihnya itu di sebelah kanan. mereka berjalan tidak berpimpinan tangan. Bukan muhrim, katanya. Maka, singgahlah mereka di sebuah kedai menjual barang permainan. Terjumpalah kekasihnya itu dengan seorang sahabt lama sewaktu di tingkatan tiga dahulu. Berbual-bual. "Sekejap aje" katanya. Berbual-bual. "Sekejap jer lagi". Berbual-bual. "Sekejap lagi yer sayang". Berbual-bual.

Dia mula merajuk. Kekasihnya lansung tidak menghiraukan dia yang berdiri di sebelah kiri kekasihnya itu. Kekasihnya lansung tidak menyedari betapa lamanya mereka di situ. Kekasihnya lansung tidak menyedari yang dia sudah pun kelaparan yang amat sangat. Dia memang merajuk. Merajuk dengan sifat keramahan yang terlampau oleh kekasihnya itu. Dia pun berlalu pergi tanpa pedulikan kekasihnya itu yang masih berbual-bual dengan rakan.

Tadi, kekasihnya cuba memujuk. Kekasihnya memohon maaf yang teramat sangat kepada dia. Dan sekarang, dia sudah kembali ceria. Dia sudah tidak merajuk lagi. Kenapa tidak merajuk lagi? Kerana kekasihnya sudah pandai memujuk.

3 Comments:

At 1:23 PM, Blogger Mohd Yussof Ibrahim said...

Sesekali merajuk, seronok memujuk, tapi kalau dah selalu?

 
At 2:36 PM, Blogger Unknown said...

nak merajuk2 pulak! penampo je skali!

 
At 4:11 PM, Blogger Sir Mute Key Chicks said...

dakwat,
Dia nih jarang sekali merajuk.sekali merajuk, lama baru ok.

nizam,
jangan penampo dia, sian dia.:)

 

Posting Komentar

<< Home