Semut, dia dan bosan
Dia mundar-mandir di ruang tamu. Matanya memandang semua benda yang ada di persekitaran. Lengang tanpa ada seorang insan pun yang sudi menjadi teman untuk dia berbicara. Dia duduk di atas sofa yang berbalutkan kain kuning dan berkaki besi empat penjuru. Di hadapannya ada televisyen yang masih bersuara. Dia bosan.
Televisyen dimatikan. Rokok dicapai. Kunci motosikalnya juga dicapai. Tidak dilupakan dengan topi keledar sebagai langkah keselamatan yang disarankan kerajaan. Ikat dengan kemas, ingatkah orang yang tersayang. Walaupun Aiman tak kesah.
Motosikal ditunggangginya. Tanpa hala tuju yang satu. Hanya untuk menghilangkan rasa kesunyian yang bersarang di dalam benak kepalanya. Matanya meliar memandang sekitar pemandangan sewaktu menunggang. Dilalui depan Kem askar udara. Terlihat beberapa orang sedang bermain sepak raga di hadapan sebuah bangunan penghuni di kawasan kem itu.
Perjalanan diteruskan lagi. Dengan kelajuan yang boleh dipintas oleh sebuah basikal, dia masih lagi meliar-liarkan matanya untuk melihat apa yang dilakukan oleh orang sekeliling. Dimasukinya satu simpang. "Pantai Bersih". Berhenti.
Ada ramai orang bermain layang-layang. Tua, muda, kanak-kanak, remaja, jantan dan betina. Eh, lelaki dan perempuan. Rokok Dunhill pek 20 itu menjadi temannya buat seketika. Dicapai sebatang, dicucuh hujungnya, disedut perlahan-lahan dan "fuuh" dihembus juga dengan penuh bergaya. Disedut perlahan-lahan dan "fuuh" dihembus juga dengan penuh bergaya lagi dan lagi. Pemerhatiannya diteruskan.
Ada kanak-kanak merengek minta dibelikan layang-layang di tepi kereta, ada pasangan kekasih bercumbu-cumbuan di tepi pokok, ada mamak penjual roti di tepi jalan, ada sekumpulan remaja sedang berkumpul di meja makan ditepi gerai laksa dan char kue teow, ada apek dan nyonya tua berjalan bersama-sama seiringan. Ada juga yang berkumpul di hadapan flat berhampiran di tempat letak kenderaan.
Tidak lama dia di situ, rasa bosan kembali menerjah ke dalam otaknya. Apa yang mereka semua ni buat? Tak menepati halwa nafsunya untuk petang itu barangkali. Dia menghidupkan enjin motosikalnya semula dan terus pulang ke rumah.
Di rumah, dia mundar-mandir di ruang tamu. Matanya memandang semua benda yang ada di persekitaran. Lengang kerana tiada seorang insan pun yang sudi menjadi teman untuk dia berbicara. Dia duduk di atas sofa yang berbalutkan kain kuning dan berkaki besi empat penjuru. Di hadapannya ada televisyen yang masih belum dihidupkan kuasanya. Dia bosan. Namun, tidak lama kerana rakannya sudah pulang dari kerja untuk diajak berbual bersama. Di ruang tamu itu.
0 Comments:
Posting Komentar
<< Home