Kamis, April 27, 2006

Semut, dia dan pen

Di sudut meja itu. Sebungkam pen terisi di dalam sebuah mug. Bagai rumpun bunga. Bermacam-macam warna. Juga diselang-seli dengan pembaris yang juga pelbagai bentuk.

Mata tertumpu pada sebatang pen. Jenama Kilometriko. Hitam. Juga dicapai kertas kosong bersebelahan dengan bekas menyimpan pen-pen itu. Idea mula tercetus. Apa yang hendak dilakukan sudah diputuskan.

Dengan pen itu, dia mula melakar. Segaris, dua garis. Bulat-bulat. Bujur juga ada. Lakarannya tidak berbentukkan apa-apa benda yang wujud di muka bumi ini. Hendak dikata melukis motor, mana seatnya, mana handlebarnya, mana enjinnya, sah bukan motor. Hanya dia saja yang faham tentang apa yang dilakarnya itu.

Di ambil pula warna pelbagai dari laci meja itu. Diadukkan sedikit dengan air. Juga ada yang disapukan terus. Melekit-lekit. Tebal. Nipis. Warna bertindih-tindih macam budak-budak yang baru belajar mewarna. Bertompok-tompok. Di atas lakaran mula tadi. Tapi lakaran mula itu tetap jelas kelihatan. Hanya dicalitkan warna yang seperti bertompok-tompokkan itu. Ntah, tak paham. Abstrak.

Dia juga gemas melukis potret. Habis gambar rakan-rakan sekolah dulu dilukisnya dan disemadikan bersama ke dalam sehelai kertas. Cantik. Walaupun ada beberapanya berupa karikatur. Kemas. Simple.

Berhenti. Satu seni abstrak telah terhasil. orang lain melihat memang akan mengatakan itu hanyalah contengan kanak-kanak berumur setahun jagung yang baru hendak mengenak apa itu warna air. Ataupun orang akan menganggap itu hanyalah hasil lukisan seorang yang cuba untuk menguji gaya mencampurkan warna bagi menghasilkan satu warna lain. Lantaklah. Dan kenyataannya, lukisan itu memberikan dia satu perasaan yang tenang di samping keadaan yang hiruk-pikuk di sekelilingnya. Dan kenyataannya, hanya dia saja yang tahu maksud lukisan itu.

Matanya tertumpu pada satu surat khabar. Juga terus ditumpu pada satu gambar. Ya. Masa untuk melukis potret pula.

Selasa, April 25, 2006

Semut, dia dan kota sedih

Lima tahun lepas. Dia merantau. Setelah diri 'ditendang' keluar dari kolej akibat terjerumus ke dunia perdadahan. Dia keseorangan. Hendak bersemuka dengan keluarga, dia malu. Dia sedih. Dia gelisah. Dia serba salah. Dia tahu dia telah bersalah terhadap keluarganya. Keluarga hanya tahu dia ke situ untuk belajar. Mana tahu ke lain pula perginya. Dia menyesal yang teramat sangat.

Dengan berbekalkan pisau lipat hadiah sempena hari lahirnya berserta duit ringgit malaysia tiga puluh, dia merantau dari Kelantan ke kota besar Kuala Lumpur. Di dalam hati tergerak juga. Kenapa harus Kuala Lumpur? Sara hidup di sana terlalu tinggi. Makanan juga agak mahal. Disebabkan hati telah nekad, diteruskan juga rancangan hatinya itu.

Di Kuala Lumpur. Dia sampai pagi itu. Tiada siapa yang boleh menolong. Sahabat handai, seorang pun tidak tahu pemergiannya itu. Kaum keluarga, sanak-saudara, semuanya tidak tahu apa-apa. Dia nekad untuk menanggung segala kesalahannya itu seorang diri. Pada dia, sendiri buat, sendiri tanggung. Tekad dibulatkan untuk mencari kerja tanpa perlu memilih. Juga dalam masa yang terdekat asbab duit yang betul-betul untuk sara hidup sampai tengah hari sahaja.

Tempat tinggal? Ah, fikir kemudian. Kerja itu yang penting. Kerja dicari. Tak memilih tempat, tak memilih jawatan. Asala ada yang kosong, terus saja akan dicekaunya. Fikirnya di dalam hati. Satu kedai mamak. "Yilek". Dua kedai apek. "Mou". Tiga kedai melayu. "Tak nak pakai orang". Dia terjelepuk kebingungan. Dalam otak hanya fikir cari duit dengan cara yang halal untuk makan sahaja. Dia sedih. Menangis kepiluan. Mengenangkan nasibnya yang entah apa akan jadi.

Hari pertama sudah lengkap. Malam tadi, dia hanya tidur di lorong belakang bangunan berselimutkan jaket dan berwaspadakan dengan pisau. Lagipun dia tidak risaukan orang nak merompak dia sebab dia memang tak punya apa-apa. Duit yang mulanya hanya untuk makan tengah hari terpaksa disimpan demi untuk bertahan seberapa lama yang mungkin.

Hari kedua. Hari ketiga. Hari keempat. Duit memang betul-betul kering. Untuk makan, dia terpaksa meminta-minta untuk sementara waktu. Dengan linangan air mata dan tebalnya muka, dia merayu meminta juga kerja. Hari kelima sungguh mencabar hatinya. Dia sudah mula dicemuh orang. Dia merayau-rayau seperti pengemis. Cuma dia berjaket kulit. Dia sudah mula menyelongkar tong-tong sampah bagi mencari sisa-sisa makanan orang. Dia pasrah. Dia menyesal. Dia sedih. Bermacam-macam lagi perasaan yang bermain di fikiran dia ketika itu.

Sehinggalah hari yang ketujuh, ada seorang hamba Allah yang budiman sedia menghulurkan bantuan. Dan dia bekerja dengan hamba Allah itu untuk sebulan lebih kerana kolej tepat dia belajar sudah 'menjemput' dia kembali untuk sambung belajar tetapi dengan bersyarat. Mendapat berita itu dari tunangnya yang sudah sekian lama tidak dihubunginya. Sedih. Gembira. Semua bercampur aduk.

Itu semua lima tahun yang lepas. Sekarang dia sudah pun bekerja sebagai salah seorang kaki tangan kerajaan dan sudah pun berumah tangga. Juga mempunyai seorang anak lelaki. Cerita pengalaman dia di kota sungguh sedih. Isk isk isk.

Jumat, April 21, 2006

Semut, dia dan berita

"Psst, kau nak tau? Anak Dolah Ronggeng yang sebelah rumah Minah Baba tu kena tangkap basah dua hari lepas." "Eh, iye ker? Kau biar betul. Setau aku, anak si Dolah tu semua dah kawen. Takkan kena tangkap basah lagi kot. Dengan jantan mana? Kat mana kenanya?".. Sessi umpat-mengumpat antara dia dan jirannya yang selang dua puluh buah rumah dari rumahnya. Hajat bermula hendak meminta serai barang seikat dua dari rumah si Melah, jirannya itu. Disebabkan mulut dia yang mengalahkan ayam bertelur itu, dia melekat dari pagi sampai ketengah hari.

Itulah dia. Cerita yang tidak tahu hujung pangkalnya itu, akan diwartakan seisi kampung. Lumrah penduduk kampung yang terkenal dengan 'keramahan'nya. Dia tak pernah serik dengan tohmahan orang kampung tentang pembawakan mulutnya itu sehinggakan dia digelar sebagai radio buruk merangkap internet bergerak.

Cerita dulu, anak ustaz Bakhri yang 'ditangkap' polis ketika berada dihotel. Bukan ditangkap sebab berbuat jahat atau bersalah. Cuma untuk disoal siasat kes penipuan saja. Tapi, bila cerita diterima oleh dia, maka pengolahan akan berlaku. Diceritakan olehnya yang anak ustaz itu ditangkap berkhalwat dengan seorang mak datin ketika sedang berada di hotel. Jauh sangat lari jalan ceritanya itu dengan yang asal. Habis heboh dua tiga kampung ceritanya itu.

Suami tercinta hanya tunduk membisu dengan kepetahan mulutnya itu. Sepatah yang keluar dari mulut suami, berpuluh-puluh patah keluar dari mulut dia. Kalah mulut laser Era Rentak Muzik Terkini itu. Anak-anak juga begitu. Hanya boleh memekakkan telinga mendengar orang lain mempersendakan ibu mereka.

Bila cerita anak ustaz tersebar, maka ramailah orang pergi berjumpa dengan ustaz tersebut. Maka, tahulah orang yang dia itu hanya membuat propaganda saja. Sudah tentu orang akan percaya dengan ustaz itu kerana ustaz itu memang terkenal dengan ketegasannya dalam mendidik anak-anaknya. Lagipun, kes anak ustaz itu sudah selesai dua minggu yang sudah.

Diikutkan hati, mahu saja orang kampung itu memulaukan dia, tapi disebabkan hormat orang kampung kepada suaminya yang juga seorang ahli jawatankuasa masjid, segala yang dirancang diabaikan begitu saja. Pun begitu, ada juga yang percaya dengan cerita-ceritanya itu walau hanya mendengarnya ketika hendak membeli ikan di pasar bergerak. Haha. Karut betul.

Jadi, apa yang orang kampung buat hanyalah mengiyakan saja apa yang dikatanya. Bukan untuk menggalakkan, tetapi untuk menyelamatkan diri dari dibuat cerita tentang mereka pula. Sesiapa yang cuba untuk menyangkal, maka keluarlah ayat-ayat seperti,"celaka kau tak pecaya cakap aku. Apa kau ingat aku menipu?" ataupun,"kau jangan aku buka cerita pasal kau pula." Haha. Ini memang betul-betul karut.

"Psst Melah, kau jaga-jaga sikit laki kau tu ya. Aku dah nak balik ni. Matahari pun dah tinggi. Busuk pulak ikan yang aku nak masak lemak tadi. Laki aku pun tak sarapan lagi tu. Hehe. Petang nanti aku datang balik ye. Ada cerita terbaru pasal Cik Mimah Janda kampung sebelah tu. Katanya nak kawin dengan sorang Dato'. Hehe. Smekom." Dan si Melah hanya senyum sambil menggeleng-gelengkan kepala. *Sigh*. "Apalah nak jadi dengan kau ni, aku pun tak tau lah." *Sigh*

Selasa, April 18, 2006

Semut, dia dan bau

Vroom..Skreet..Chess..Chess.. Bas berhenti di satu bus stop. Dia naik dengan menunduk. Kepala diangkat untuk bermuka dengan driver bas. Tambang bas dibayar. RM 3.50. Vroommm.. Perjalanan bas diteruskan.

Tempat duduk belakang menjadi pilihan dia. Bukan sombong. Bukan juga tidak bersosial. Cuma terasa. Orang sekeliling memandang dengan muka yang berkerut. Dia tertunduk lagi. Dia tahu apa masalah mereka-mereka yang berada di dalam bas itu. Sudahlah tingkap tidak boleh dibuka kerana berhawa dingin, panas dari luar yang terperangkap di dalam bas cukup untuk membuatkan mereka-mereka tidak berasa selesa. Tambah lagi dengan kehadiran dia. Dia memang sedar semua itu.

Kadang-kadang, keluarga dia juga tidak senang dengan dia berada di samping mereka. Jijik ke dia? Keji ke dia? Penagih dadah? Bukan, merogol orang? Bukan juga, bekas banduan pun bukan. Habis tu? BERBAU.

Memang tidak dinafikan lagi. Bau badannya yang sedikit berisi itu agak tidak menyenangkan orang yang berada berhampiran dengan dia. Dalam jarak kurang dua meter sudah dapat terhidu bau dia. Busuk sangat ke? Takde la busuk pun. Tengik je. Menusuk ke rongga hidung. Itu baru bau badan. Bilik? Jarak lima belas meter dah terhidu aroma yang amat 'menyenangkan'.

Habis nak buat macam mana? Dia kuat berpeluh. Walaupun hanya dengan mengangkat beg untuk pergi ke sekolah. Walaupun hanya dengan mengangkat periuk nasi. Juga walaupun hanya dengan berjalan sejauh lima puluh meter. Berpeluh seperti orang mandi. Juga disertakan dengan bau yang kurang menyenangkan. Baju juga dipakai yang seminggu lepas. Tidak dibasuh. Kalau dibasuh pun, hanya dicelup dan kemudian disidai terus. Well..

Pun begitu, dia tetap dengan tidak mempedulikan orang lain. Pada dia, badan dia, dia jaga. Baju dia, dia punya. Bau dia, korang peduli hape? Pada dia. Bukan orang tak pernah ambil peduli. Kawan dia, Apai, Pijot, Ido, Isang, Jemay, kokoi, bukan tak pernah nasihatkan dia. Dia? Senyum seraya berkata,"nanti aku ubah la". Nanti? Bila? Lantak kau lah labu. Dah ponek den kobakan. Ekau macam tu jugak. Bilo ekau nak berubah pon den tak tahu. *Sigh*

Vroom..Skreet..Chess..Chess.. Chessss.. Pintu bas dibuka. Dia turun. Menuju ke satu tempat. Amway. Untuk mengikuti taklimat jualan. Ya. Amway pewangi bilik yang untuk dijual dan bukan untuk digunakan sendiri. Pada dia, biarlah dia berbau tengik asalkan orang lain berbau wangi.

Jumat, April 14, 2006

Semut, dia dan ragbi

Ada seorang budak. Badan dia kecik je. Umur 13 tahun. Dia selalu kena buli. Dia tak kesah. Kawan-kawan panggil dia tuyal (toyol). Dia tak kesah. Kalau lari, dia selalu di belakang. Lari lambat-lambat. Kawan-kawan semua tinggalkan dia. Dia tak kesah.

Satu hari, hujung semester, abang senior buat pemilihan untuk kelab ragbi sekolah. Kawan-kawan dia banyak masuk pemilihan tu. Dia pun ikut sekali. Dia nak cuba juga. Sprint test dia gagal, tapi untuk long distance dia lepas. Kawan-kawan dia semua terkejut dia lepas masuk.

Dalam team, dia pegang posisi hooker. Di apit dua stand off. Semangat dia makin kuat sebab dalam ragbi, semangat berpasukan amat diperlukan. Kawan-kawan dari kelab bolasepak yang selalu buli dia dah tak berani buli lagi sebab senior ragbi dah sound kalau ada orang buli, kasi report. Nanti satu pasukan ragbi turun bilik orang yang membuli tu. Itulah semangat berpasukan ragbi. Turun makan ke dewan makan pun bersama-sama. Botak kepala pun bersama-sama.

Masuk semester pertama tahun berikutnya, dia pegang posisi blind wing. Posisi paling tepi merangkap orang yang paling tough dalam larian. Mesti ada stamina yang kuat. Walaupun badan dia kecik jer, tapi stamina dia cukup kuat. Dia boleh jatuhkan senior yang dua kali besar dari dia hanya dengan menguis kaki waktu tengah berlari. Haha.

Hujung tahun, periksa. Dia tak lepas kredit untuk tinggal di asrama. Mak abah dia kata balik dan belajar di kampung. Dia ikut jer. Senior-senior dan kawan-kawan ragbi semua raikan dia. Dia terharu sangat-sangat.

Sesungguhnya dengan menyertai pasukan ragbi, dia dapat membina keyakinan diri dia yang selama ini menganggap diri dia lemah. Dia berazam, di sekolah barunya nanti, dia akan buktikan, sekecik-kecik dia, seslow-slow dia, dia akan berjaya dalam semua bidang yang akan diceburi dan dia akan kesah dengan apa yang orang lain cakap kepadanya.

Senin, April 10, 2006

Semut, dia dan memancing

Masa kecil-kecil dulu, mak dia ada pesan, "kalau kerat buluh nak buat pancing, jangan langkah. Nanti tak dapat ikan." "Dah bubuh umpan tu, ludah la sikit, kalau tak nanti ikan tak nak makan umpan tu." "Kalau tengah memancing tu, jangan bising-bising, nanti ikan dengar ada orang dia lari."

Banyak yang mak dia pesan. Dulu-dulu. Dia tinggal di kampung. Mana kenal fishing rod, mana kenal umpan tipu, mana kenal mesen pancing, mana kenal loceng amaran, mana kenal pelampung kaler merah putih dan bulat tu. Dulu-dulu. Yang dia tahu, selain buluh untuk buat batang pancing, boleh ambil pelepah anak kelapa sawit, atau ambil ranting kayu yang liat dan susah nak patah. Tali tangsi, mata kail 10 sen 3, batu ladung dari kerikil atau timah bateri kereta yang dah tak guna, pelampung dari selipar getah. Umpan cacing tanah, cacing gila, anak katak atau katak sedang. Kalau malas nak cari katak, cari aje belalang daun yang kecil-kecil atau cengkerik yang tinggal di bawah pelepah kelapa sawit yang dah reput. Takpun, cari biji kelapa sawit yang relai dari tandannya.

Dia kalau pergi memancing, mesti dengan seorang kawan yang memang expert dalam hal perikanan ni. Kawan dia bawak satu pancing dari buluh dan sepuluh taju. Pancing buluh untuk mengail ikan-ikan kecil untuk dibuat umpan taju. Bijak-bijak. Taju yang ditaut, mesti membuahkan hasil. Paling tidak haruan paya yang hitam merelit sebesar lengan remaja. Kagum sungguh dia. Dia? Ikan selat kadang-kadang, ikan panjang dan kepar banyak. Bujuk, haruan, keli, ubi, lampam, nyit-nyit@baung, toman, jarang lansung.

Bila balik rumah, mak dia akan bertanya dia seolah-olah dia seorang nelayan yang baru pulang dari laut. "Banyak ikan?" Haha. Dia sengih. Kalau berhasil dia bagi mak dia masak dan makan ramai-ramai. Kalau tak berhasil, dia akan meminta duit dari mak dia dan terus ke kedai membeli ikan yang hampir pecah perut tu. Tapi jarang sekali.

Itu semua dulu-dulu. Sekarang dia dah kenal dengan fishing rod, dah kenal umpan tipu, dah kenal mesen pancing, dah kenal loceng amaran, dah kenal pelampung kaler merah putih dan bulat tu. Juga ladung yang pelbagai bentuk dan fesyen. Dan sekarang dia sudah mula mengenali dunia perikanan untuk para pejuang laut dan masih lagi bersama dengan kawan dia yang expert tu.

Dan petua mak jangan langkah batang pancing, bubuh umpan kena ludah dulu, memancing takleh bising, tetap menjadi papan tanda di dalam otak dia yang sederhana besar tu.

Kamis, April 06, 2006

Semut, dia dan keluarga

Perkara yang menderitakan bagi seorang kanak-kanak. Bila ibu bapanya mengambil berat tentang hal-hal adik beradiknya yang lain. Itulah yang sering dihadapinya. Seawal pukul 6.30 pagi, dia akan bangun untuk bersarapan sebelum ke sekolah.

Roti potong diambil dua pasang. Di sapu dengan jem. Air panas dari cerek elektrik yang dimasak sebelum mandi dituangkan kedalam kole yang sudah diisikan dengan milo dan susu. Dikacau hingga sebati. Dimakan roti itu dengan air milo. Hampir setiap pagi dia begitu. Kemudian, dia akan berjalan ke seoklah yang terletak lebih kurang satu setengah kilometer dari rumahnya.

Abahnya hanya akan menghantar adiknya yang darjah dua itu ke sekolah. Bila ditanya kenapa tidak dihantar dia sekali dan jawapan abahnya, dia sudah besar. Darjah empat. beza dua tahun cuma. Maknya? Maknya hanya menurut perintah abahnya.

Memang selalu terjadi begitu. Dia pun sudah lali dengan perangai kedua-dua orang tuanya. Rasa tersisih pun ada. Dia ingat lagi sewaktu abangnya yang sekarang ini sudah tingkatan dua bersekolah bersama dulu. Abah akan menghantar dia bersama-sama dengan abang naik motor kapcai. Tapi bila abang dah masuk sekolah menengah dan tinggal di asrama, dia tak boleh pula ikut naik motor dengan adik. Memang tidak adil rasanya.

Tahun lepas, dia dapat nombor satu dalam darjah. Adik dia dapat nombor 23. Waktu majlis penyampaian hadiah, Abah dengan mak dia tak datang tengok dia ambil hadiah. Tapi masa dia belum sekolah, abang dia pernah dapat hadiah pelajar terbaik untuk matapelajaran, bukan dapat nombor terbaik, tapi terbaik untuk matapelajaran saja, satu kenduri doa selamat dibuat. Adil ke abah dan mak?

Di sekolah, dia seorang pengawas. Adik dia nakal. Selalu kena panggil dengan guru disiplin. Balik rumah, adik report dekat abah. Dia kena pukul, marah, herdik, peluku, sepak pasal tak jaga adik waktu kat sekolah. Dia menangis seorang diri dalam bilik. Dinding bilik jadi sasaran. "Abah tak sayang aku", "mak pun tak sayang aku", "kenapa? Aku bukan anak diorang ke?".

Selalu dia akan bersembang dengan cikgu pasal keluarga dia. Ada seorang cikgu yang betul-betul memahami jiwa dia. Cikgu tu juga selalu bagi nasihat pada dia. "Seteruk mana pun kamu fikir pasal kedua-dua orang tua kamu, mereka tetap yang menjaga kamu dari kecil. Makan kamu, pakai kamu, sihat kamu, demam kamu, semua atas tanggungan mereka. Mungkin mereka tak mahu kamu jadi orang tak berguna, tak pandai berdikari di masa depan kelak." Dia mengambil kata-kata cikgu itu sebagai satu penolakkan fikiran dia tentang tingkah-laku tidak adil kedua orang tuanya. Mungkin ada betulnya.

Di rumah, dia buat macam biasa dengan abah dan maknya. Di sekolah, dia jaga adiknya yang nakal itu. Dan dia betul-betul berharap suatu hari nanti, abah dan emaknya akan menghargai dia sepertimana yang dilihat penghargaan yang diberi terhadap abang dan adiknya itu.

Pagi itu, dia bangun macam biasa, dan buat tugasnya mcam biasa-biasa. Roti potong diambil dua pasang. Di sapu dengan jem. Air panas dari cerek elektrik yang dimasak sebelum mandi dituangkan kedalam kole yang sudah diisikan dengan milo dan susu. Dikacau hingga sebati. Dimakan roti itu dengan air milo, dan kemudian, menuju ke sekolah dengan menaiki basikal yang dibelikan abahnya kelmarin dulu. Dia tersenyum sendiri.

Senin, April 03, 2006

Semut, dia dan comel

Muka dia macam beruang teddy. Comel sangat. Walaupun umur dah 20-an. Orang kata faktor keturunan. Memang pun muka ahli keluarga dia yang lain pon comel, hensem, cantik. Abah dia, mak dia, adik-adik dia, abang dia, kakak dia, mak sedara dia, atok nenek dia. ~Kewl~. Siapa-siapa jumpa dia mesti rasa macam nak cubit pipi dia. Terkadang dia rasa macam dia masih lagi budak-budak. Ke pasar ditegur makcik yang membeli sayur-sayuran. Ke kedai ditegur pakcik yang membeli rokok. Ke sekolah ditegur budak-budak sekolah yang comelnya lebih kurang dia. Ke panggung wayang ditegur kecomelannya olh para awek panggung. Pendek kata, ke mana saja dia pergi, senyuman dan teguran tak pernah tak didengar atau ditemuinya.

Waktu dia sekolah dulu-dulu, ramai senior-senior dia yang nak ambil dia jadi adik angkat. Kalau kakak senior takpe. Dengan abang senior pon nak jadikan dia adik jugak. Haha. Penangan orang lelaki comel.

Sekarang pun macam tu juga. Masih ramai lelaki dan perempuan yang kegersangan dengan muka dia. Memang comel sangat. Lumrah alam. Suka dengan benda-benda yang cantik dan comel memang menjadi satu lumrah. Kau pun begitu kan?

Dia juga sering mendapat panggilan yang tak senonoh dari pemanggil hantu. Famous ke dia? Terkenal ke dia? Artis ke dia? Dia adalah dia. Anugerah tuhan dengan wajah yang boleh meredupkan hati sesiapa yang melihatnya. Yang akan terpesona dengan pandangan matanya. Yang akan tersentuh dengan kata-kata manis dari mulutnya. Yang akan tergoda dengan perbuatannya. Ramai yang menjadi secret admire.

Pun begitu, dia tak pernah sombong dengan sesiapa. Mungkin dalam ramai-ramai umat manusia ni, Allah cuma memberikan banyak kelebihan terhadap dia. Mungkin sesetengah orang akan menganggap 'kelebihan isi' pada badannya satu kecacatan kepada seseorang itu. Namun dia telah membuktikan yang manusia 'terlebih isi' juga boleh menjadi satu tarikan yang begitu mengasyikkan. Itulah kelebihan ciptaan-Nya yang maha kuasa.

Dia bersyukur dengan apa yang telah diberi kepadanya. Muka yang tembam, badan yang sedikit 'lebih', kulit yang gebu, mata yang mempersona, mulut yang manis, tingahlaku yang terpuji, keluarga yang baik, kawan yang memahami dan segala macam lagi keistimewaan yang dia peroleh. Semuanya atas ihsan kuasa dari-Nya yang maha kuasa. Amin.

Sabtu, April 01, 2006

Semut, dia dan selsema

"Achum!!!" Perkataan pertama bila dia bangun pagi itu. Bukan pagi itu saja. Hampir setiap pagi dia akan berterabur bersin. Eh, berterabur? Ubat selsema pula jadi teman sejati. Pagi, tengah hari, malam. Doktor kata, ubat tuh boleh menyebabkan mengantuk, tapi dia makan seperti tiada apa-apa pun. Sudah kebal barangkali dengan segala jenis ubat tuh. Haha.

Dia ni memang jenis yang berpenyakit. Lelah, low blood, resdung, migrain, gastrik, cepat stress, dan juga penyakit mental sikit-sikit. Terkadang dia akan menyepak kucing belaannya tiba-tiba tanpa usul periksa. Sebab? Penyakit mental dia datang menyerang. Terkadang sedang tidur pun boleh bercakap dengan kawan-kawan sebelah. Eh, kes berat nih.

"Achum!!!" Lagi. Dan lagi. Rasa nak tercabut hidung. Dah la hidung dia mancung. Merah pula. Serupa macam mat saleh yang tengah mabuk todi. Merah je. Kesian dia. Mak dia kata, banyakkan minum air suam. Jangan keluar rumah balik lewat malam. Jangan selalu kena embun pagi. Habis? Dia masuk kerja pukul tujuh. Enam suku dah mula kena gerak. Kalau tak, jem boleh menyebabkan kelewatan ke tempat kerjanya. Malam? Persatuan-persatuan punya meeting? Satu dua pagi baru habis. Air suam? Selalu dah minum. Sampai dah naik pahit tekak minum air tak manis hari-hari. Sampai tenaga pun dah kurang sebab kurang kemanisan dalam darah. Bilik pula berair cond 24 jam. So?

"Achum!!!" Buat kali seterusnya. Menderitalah dia dengan keadaan dia sekarang ni. Mungkin akan dicuba rawatan secara tradisional jika dia pulang ke kampung nanti. Mungkin dan jika.