Jumat, Maret 31, 2006

Semut, dia dan sivik

Setiap pagi. Dia bangun awal dan bersiap-siap. Awal. Mandi, bercukur-cukur sedikit, bersolat di masjid, tempek-tempek bedak, spray perfume. Kemas.

Dia masih bujang. Tiada orang memasak sarapan untuk dirinya. Terkadang memasak sendiri, terkadang membeli bungkus di kedai menjual nasi lemak berhampiran. Makan dan minum sebelum menuju ke tempat kerja. Dia tidak pernah lewat ke tempat kerja. Selalu tepat masa.

Itulah rutin dia sehari-hari waktu bekerja. Sabtu Ahad, dia duduk-duduk di rumah merehatkan diri setelah letih bekerja sepanjang lima hari. Ada juga mengemas. Terkadang.

Kawan-kawan panggil dia Mat Sivik. Skema tahap tepu. Dia tersengih menampakkan sebaris gigi yang cukup bersih. Kawan-kawan ada mengajak dia untuk berhibur di malam minggu, tapi dia sering menolak. Bukan dengan pelbagai alasan. Hanya satu alasan saja. Letih bekerja lima hari. Kawan-kawan juga panggil dia Mat Bosan. Tapi berbual juga dia dengan mereka macam biasa.

Biarlah. Dia memang tidak ambil peduli tentang itu semua. Yang dia tahu, dia tidak mengganggu sesiapa. Dia tidak bersosial? Tidak. Balik kerja, dia ke masjid. Sepuluh lebih baru pulang ke rumah. Mungkin orang tidak boleh menerima cara hidup yang dia jalani. Bagi orang lain, cara hidup dia sungguh membosankan. Dia tidak berparti, dia tidak berkaraoke, dia tidak berclubbing, dia tidak itu, dia tidak ini. Dan dia masih bujang. Bujang is enjoy beb.

Itu kata orang. Kata dia? Biarlah dia bersendirian menempuh segala perit hidup di dunia ini. Biarlah susah senang dia yang tanggung sendiri. Dia lebih senang bergaul dengan ustaz-ustaz di masjid. Pakcik-pakcik yang siang hari di kedai kopi, malam di masjid mengaji. Biarlah dia.

Dia memang begitu. Setiap pagi, setiap hari, setiap malam, setiap minggu. Rutin yang sama diulang. Cuti tahunan juga tidak diambil. Sampai bila? Entahlah. Biarlah dia.

Kamis, Maret 30, 2006

Semut, dia dan jawi

Dia berumur 9 tahun waktu itu. Sudah berkhatan tahun lepas. Jadi, boleh bergaul dengan orang-orang dewasa yang lain. Kalau ke masjid, berdiri sama saf dengan orang-orang tua yang lain. Bukan lagi di saf kanak-kanak. Kawan-kawan, semuanya jaki dengannya.

Sebelum dia masuk 'jawi', banyak cerita yang menakutkan selalu didengarnya. Gergajilah, parang panjanglah, pisau toreh getahlah, gunting jahit bajulah, dan yang paling tak munasabah lansung bilah kelapa sawit. Ada ke patut diorang kata kena potong abih?

Semua tu tak jadi halangan untuk dia meneruskan tekadnya untuk tergolong dalam golongan-golongan 'orang dewasa'. Bermula dengan cuti penggal persekolahan. Abangnya menyatakan hasrat untuk berkhatan. Bertanyalah dia kepada abangnya apa itu berkhatan? Jawab abangnya yang waktu itu 11 tahun,"berkhatan tu untuk orang yang sudah cukup umur. Nanti kalau aku dah 'potong', aku dah tak boleh nak main-main dengan budak-budak lagi. Sebab, aku dah jadi dewasa".

Maka, tergesa-gesalah dia mencari abahnya untuk menyatakan hasratnya untuk menjadi 'orang dewasa'. Jumpa."hang tak boleh lagi, kecik lagi. orang sunat bila dah besar sikit". Apa yang kecil? Apa yang besar? Hati kecilnya bertanya-tanya lagi. Dan di situlah bermulanya segala pembohongan yang maha tidak benar. Seboleh-boleh abah dia tidak mahu dia berkhatan sekali dengan abangnya. Sebab? Dia nih leceh, banyak mulut, tak reti diam, kalau demam pun, dialah yang paling bising. Abah dia takut dia tak tahan dengan segala macam pantang larang orang berkhatan.

Tekad dibulatkan. Dia tidak pedulikan kata-kata orang lain. Biarlah gergaji ke, parang panjang ke, pisau toreh getah ke, gunting jahit baju ke, dan yang paling dia tak kesah lansung, bilah kelapa sawit tu. Dia tahu semua tu tak betul. Kan?

Masa dah tiba. Diarak keliling kampung? Tidak. Di bawa ke hospital dengan kereta bersama-sama dua tiga anak jiran yang lain. Semuanya tua dari dia dua tiga tahun. Adengan yang dia lihat di hospital pun tak kurang juga hebatnya. Jirannya itu, berkali-kali pergi ke jamban untuk apa pun dia tak tahu. Takut? Ngeri? Nervous? Lantak kau la jang oi. Dia? Dengan selamba masuk ke bilik 'bertukar ke orang dewasa' itu. Selesai dah. Hilang? Ada lagi. Siap dipuji lagi dengan para doktor yang membuat pembedahan tu.

Di rumah, mak dia risau dia menangis waktu kena 'potong' tu, tapi bila abah dia kata semuanya ok, ok lah. Haha. Segala pantang larang sudah diset dalam otak dia. Satu hari, dua hari, tiga hari, masuk hari ke empat, dia dah merengek nak makan roti canai. Abah dia tak bagi. Dia pakai seluar, keluar dari rumah dan menuju ke sebuah kedai roti canai yang hanya tiga puluh langkah saja dari rumahnya yang di atas bukit itu. Haha. Semuanya sudah abahnya jangka. Petang tu, dia main bola kecil dengan anak jirang yang sama umur dengannya. Hasilnya? Sendiri mau ingat la. Bentan. Nak buka semula pembalut tu, dia kena tunggu sampai sebulan lebih baru boleh buka. Haha.

Setahun sudah berlalu. Dia masih lagi ingat perkara tu. Dengan berlagak hebat seperti orang-orang dewasa yang lain, dia berkhatan lebih awal dari kawan-kawannya yang lain. Jadi, dia bolehlah berbangga dengan kawan-kawannya yang belum di'jawi'kan lagi. Dan dia pula yang cuba menakut-nakutkan kawan-kawan dengan mengatakan doktor sunat guna gergajilah, parang panjanglah, pisau toreh getahlah, gunting jahit bajulah, dan yang paling tak munasabah lansung bilah kelapa sawit. Ader ke patut?

Rabu, Maret 29, 2006

Semut, dia dan imaginasi

Kertas kosong digumpalkan. Direnyuk-renyuk dan dibentuk kepada sesuatu objek. Objek bertangan, berkaki, dan berkepala. Semua bahagian itu diilit dengan getah supaya ia tidak terhurai dari bentuknya. Di dalam kepalanya sudah timbul pelbagai jenis jalan cerita yang akan dibuat dengan patung kertas itu.

Jika dia ke rumah kawan-kawannya, dan kawan-kawannya menunjukkan permainan robot yang baru kawan-kawannya beli di pasar malam, maka sekembalinya ke rumah, dia akan mencari patung buatan itu dan membuat sedikit pengubahsuaian supaya patung tersebut mempunyai bentuk robot. Kerana itu sajalah yang mampu untuk dia buat. Mak dan ayahnya bukan orang susah. Jika dia mahukan robot, beritahu saja. Satu? Dua? Berapa? "Just name it" kata ayahnya dengan senyuman.

Dia memang macam tu. Penuh berimaginasi. Hanya dengan patung kertas ciptaannya itu, dia boleh lupa dengan nasi, air, bola, tv, ps2 dan bermacam-macam lagi alat-alatan moden yang mak dan ayahnya beli untuk dia. Jika dia mula berimaginasi, segala harta benda di rumah itu akan dijadikan bahan bantuan yang lain untuk patung kertas ciptaannya itu. Remote tv dijadikan kenderaan pengangkutan, gelas-gelas di susun menjadi tempat tinggal, kusyen tempat bertarung, tv jadi lokasi hubungan awam, ps2 jadi tempat kumpul maklumat, dan banyak lagi harta benda di dalam rumah itu yang menjadi bahan bantuan untuk patungnya itu.

Patung kertas itu boleh dijadikan apa-apa watak yang dia suka. Dia ada buat dua tiga patung kertas itu bagi memenuhi watak yang dicipta dalam 'cerita'nya nanti. Mak dan ayahnya juga runsing dengan perangainya itu. Namun, dalam pada berimaginasi tu pun, dia tetap bergaul baik dengan kawan-kawannya yang lain, juga menjadi pelajar yang terpandai di dalam sekolahnya. Padanya, hanya dengan imaginasi ceritanya itu saja yang dapat serta boleh dipercayainya.

Kertas-kertas kosong lipat-lipat. Dibentuk kepada beberapa objek. Jet origami, kereta origami, helikopter origami, burung origami. Di dalam kepalanya sudah timbul pelbagai jenis jalan cerita yang akan dibuat dengan patung kertasnya bersama-sama dengan origami-origami yang baru dipelajarinya dari sebuah buku hadiah dari mak dan ayahnya.

Minggu, Maret 26, 2006

Semut, dia dan badminton

"Ado seko, anok tupa, atah jula mokte.." sedutan lagu dikir barat yang terngiang-ngiang dalam kepala dia saat itu. Saat itu. Sebelumnya, dia telah bermain badminton bersama-sama dengan rakan-rakannya yang lain. Malam yang sungguh letih bagi dirinya.

Bermain straight set memang sangat meletihkan. Selesai mengalahkan satu regu, datang pula regu yang lain. Lebih mencabar dari yang awal. Dan semakin lama semakin sengit perlawanan. Eh, dia bukan nak bercerita tentang badminton kepada kamu.

Dia sememangnya keletihan yang teramat sangat. Di tambah dengan keadaan hujan yang begitu lebat. Sememangnya lebat hujan ketika dia hendak pergi bermain badminton dengan rakan-rakannya yang lain itu. Hujan mencurah-curah seperti mahu dihabiskan untuk satu malam sahaja air kandungannya itu. Namun, setibanya dia di gelanggan badminton, hujan yang mula-mula tadi lebat, berhenti secara mengejut. Kuasa yang maha Esa. Eh, kenapa masih bercerita tentang badminton?

Dia balik dalam keadaan yang sedikit kuyup. Hujan dah mula merintik selepas tamat perlawanan. Di redah juga hujan itu. Tiba-tiba, perut berbunyi. Dia tahu yang perutnya itu kelaparan kerana belum di isi dengan apa-apa lagi sejak tengah hari tadi. Eh, tengah hari tadi dia makan nasi tomato. Sedap.

Habis makan, dia termangu-mangu seorang diri memikirkan apa yang hendak dibuatnya di masa lapang yang tinggal. Dia lalu mandi dan terus mengambil wudhu'. Sembahyang Tahjud, Hajat. Membelek Yassin, dan dibaca dengan penuh syahdu. Di tengah malam pukul 2 pagi. Diselang-seli dengan dentuman guruh di langit serta bunyi tempias air di jendela.

Siap semuanya. Dia mengenakan pakaian untuk tidur. Sementara menunggu azan subuh berkumandang. Dua jam lagi. Dia termangu sendirian. Tangan di dahi. Terlintas di kepala. "Ado seko, anok tupa, atah jula mokte..". Dan dia terlena sehingga dikejutkan oleh azan subuh yang berkumandang dua jam selepas itu.

Rabu, Maret 22, 2006

Semut dan kamu

Dulu. "Cikgu jagalah anak saya ni ya. Cikgu nak buat apa, buatlah. Jangan patah riuk sudah. Cikgu buatlah macam anak cikgu ya".

Kamu risaukan tentang prestasi anak-anak kamu. Pelajaran anak-anak kamu merosot, kamu salahkan guru-guru. Guru-guru marahkan kenakalan anak-anak kamu, kamu salahkan guru. Guru-guru mendenda anak-anak kamu, kamu saman guru itu. Anak-anak kamu cedera di sekolah, guru-guru juga kamu salahkan.

Habis, kalau tiada guru? Siapa kamu hendak persalahkan? Siapa yang akan mengajar anak-anak kamu Bahasa Melayu? Bahasa Inggeris? Matematik? Sains? Pendidikan Agama Islam? Pendidikan Seni? Pendidikan Muzik? Pendidikan Jasmani? Geografi? Siapa akan menegur kenakalan anak-anak kamu di sekolah? Siapa akan merawat anak-anak kamu jika tercedera di sekolah? Kamu? Kamu?

Tidak! Kamu terlalu sibuk dengan dunia kerjaya kamu. Kamu terlalu sibuk dengan dunia harta kamu. Kamu terlalu sibuk dengan pesakit-pesakit kamu. Kamu terlalu sibuk dengan perbicaraan kamu. Kamu terlalu sibuk dengan pelan-pelan bangunan kamu. Kamu sibuk dengan politik kamu. Kamu saja-saja sibuk-sibuk.

Kenapa kamu sibuk-sibuk dengan hal di sekolah? Kamukah yang memberi guru-guru itu makan? Kamukah yang memeriksa buku rekod murid-murid di sekolah? Kamukah yang memeriksa rekod kesihatan di sekolah? Kamukah yang menolong guru-guru itu mengajar di kelas? Kamukah itu? Kamukah ini?

Sudah tentu tidak bukan?

Cuba kamu kenangkan kembali bagaimana guru-guru kamu dulu mengajar. Rotan di tangan. Tak siap itu,"piap!!", tak siap ini,"piap!!", silap itu,"pang!!", silap ini,"ping!!". Denda itu, denda ini. Hasilnya? Nah, kamu yang cemerlang, gemilang dan terbilang!

Ini, anak-anak mengadu dicubit guru, kamu melenting mahu menyaman sekolah. Mengadu dirotan guru disiplin, parang kamu bawa ke sekolah. Mengamuk kerana anak katanya. Hasilnya? Kamu sendiri boleh lihat. Siapa? Anak kamu juga. Yang kamu banggakan. Yang kamu manjakan. Yang kamu beri penuh perhatian katanya.

Kamu laki bini hanya menjaga dua tiga orang anak pun dah bising itu ini begitu begini. Guru? Sekelas 35 orang. Dua kelas? Tiga kelas? Lapan kelas? Jaga siapa? Anak kamu! Anak-anak kamu yang bakal mewarisi negara suatu masa nanti.

Sekarang. "Cikgu ajar lah anak saya ni baik-baik yer. Jangan rotan dia. Dia ni takut sakit. Cubit pun jangan. Kulit dia sensitif. Tampar? Lagilah jangan. Kalau cikgu nak kena saman RM 30,000, buatlah. Hehe. Berdiri atas kerusi? Dia cepat lenguh. Denda tulis dekat papan hitam? Cikgu buatlah kalau cikgu nak merasa makan kapur tu. Herdik? Kalau berani la. Kalau boleh, saya nak cikgu ajar dia supaya jadi orang yang berguna ya cikgu. Kalau dia melawan, cikgu diam sudah lah. Ala, budak-budak kan. Memang jenis dia macam tu, tegur sikit melenting. Tapi last thing saya nak bagitau cikgu, kalau apa-apa terjadi dekat anak saya nih, saya takkan teragak-agak bawa perkara tu ke mahkamah. Ingat tu".

Senin, Maret 20, 2006

Semut, dia dan haiwan kesayangan

Di kelas itu, dia seorang murid yang nakal. Dia selalu mengganggu murid-murid yang lain. Dia juga selalu berlari-lari di dalam kelas semasa guru ada di dalam kelas. Semasa guru tiada? Dia lah raja segala nakal. Raja segala permainan, raja segala pengacau, raja segala propaganda, juga raja segala macam.

Suatu hari, guru masuk ke kelas seperti biasa. Guru Bahasa Melayu. Guru mengajar topik Haiwan Peliharaan di rumah. Abidin, kawan dia. Ceritakan tentang betapa jinaknya haiwan peliharaannya seekor kucing siam yang bernama Jojo.

Jojo petah membuat apa-apa saja. Jojo berlari keliling rumah, Jojo makan apa yang Abidin makan, Jojo menjemput di pintu ketika pulang dari sekolah, Jojo itu, Jojo ini, dan segala-galanya tentang keistimewaan Jojo. Abidin tidak tahu, Jojo itulah yang sering dipukul oleh mak dia kerana mencuri ikan di dapur dia. Itulah Jojo. Abidin juga tidak tahu ketika Abidin berada di sekolah dan dia ponteng sekolah, dia akan membuli Jojo sehendak-hendaknya. Nasib kaulah Jojo.

Siti Saerah juga tidak mahu kalah dengan cerita Si Jojo itu. Maka, diceritakannya pula tentang ayam seramanya yang bernama Epol itu. Epol memang jinak. Fikir dia. Ya, kalau segala tentang Siti Saerah itu, segala-galanya sempurna bagi dia. Dia memang meminati Siti Saerah sejak mula-mula masuk sekolah lagi. Dan Siti Saerahlah yang selalu menjadi mangsa kedajalan dia.

Setelah selesai guru bertanyakan kesemua lima belas murid di dalam kelas itu, maka tibalah giliran dia. Dia pun dengan bangganya menceritakan tentang dua haiwan kesayangannya yang bernama Leman dan Boyot. Dia kata Leman cantik. Bulunya putih, telinganya panjang dan berwarna pink. Boyot pula bermuka pink, berbadan putih, serta mempunyai mata yang besar dan berseri-seri. Setiap malam, dia akan tidur dengan bertemankan Leman dan Boyot. Dia sangat sayangkan Leman dan Boyot.

Guru pun bertanya apakah makanan arnabnya itu. Dia dengan lantang berkata Leman dan Boyot bukan arnab. Habis tu? Leman adalah sebuah anak patung Mashimaro manakala Boyot pula anak patung Hamtaro dan kedua-duanya dimenanginya sewaktu di Pesta Full Stop.

Maka ketawalah seisi kelas itu tatkala mengetahui yang senakal-nakal dia, dia tetap seorang yang penuh dengan kelembutan, bermain dan tidur bersama anak kantung. Eh, anak patung. Dia tersipu-sipu malu. Kesian.

Di dalam kelas itu, dia masih lagi seorang yang paling nakal. Walaupun sudah beberapa kali di tegur, tetap tidak mahu diendahkan. Kawan-kawannya hanya gelengkan kepala kerana mereka tahu dia hanya mahukan perhatian. Dia hanyalah seorang yang keras di luar tetapi lembut di dalam.

Semut, dia dan perempuan jadi-jadian

Hari ni dia kelaparan sangat-sangat. Kertas-kertas tugasan di atas meja tidaklah terlalu banyak. Maka, keluarlah dia ke restoran yang berhampiran.

Di restoran, dipesan makanan mengikut selera nafsu makannya. Air sirap dengan nasi goreng cendawan. Gabungan dua jenis itu cukup menyelerakan perutnya. Tunggu sekejap.

Datang seorang wanita yang sangat ayu ke restoran itu. Duduk bertentangan dengan dia. Kulitnya kelihatan begitu halus. Make up. Di pesan makanan dengan begitu sopan sekali. Makanan yang dipesan tidaklah begitu cerewet barangkali kerana begitu cepat sampai pesanan itu ataukah pengambil pesan itu menyuruh pemasak membuat cepat-cepat makanan yang dipesan?

Dia? Masih menunggu makanannya siap. Sampai. Sungguh enak baunya. Dimakan dengan penuh berselera. Di pertengahan, "Brruupppp!!!"(sendawa lelaki). Semua mata bertumpu. Di meja wanita ayu itu. Disusuli "Alhamdulillah,"(suara ayu seorang wanita).

Ish, wom+man rupanya. Patut lah sendawa macam jantan. Eh, lelaki.

Dia sudah habis makan. Membayar di kaunter dan pulang ke pejabat untuk menyambung membuat kertas-kertas tugasan di atas meja yang tidaklah terlalu banyak itu.

Sabtu, Maret 18, 2006

Semut, dia dan kekasih

Semalam dia merajuk. Kenapa merajuk? Kekasihnya telah melakukan sesuatu yang melukakan hatinya. Kekasihnya tidak pandai hendak memujuk. Lalu dirujuk kepada kawan-kawan yang berhampiran untuk diberi pendapat serta nasihat.

Bila dia merajuk, macam-macam perkara yang tak munasabah dibuatnya. Bakar kertas lah, minum kopi tanpa gula, bermain dengan pemetik api sehingga habis gas pemetik api tersebut, dibuka casing handphone dan membiarkan handphone itu dalam keadaan telanjang, baju dicurah dengan kicap Tamin, dan bermacam-macam lagi perkara yang tak masuk dek akal akan dia lakukan.

Dia bukannya budak kecil lagi. Bukan juga ingusan. Bukan juga setahun jagung. Dia sudah akil baligh. Bahkan sudah lama akil baligh. Juga sudah mempunyai kekasih hati. Namun, kalau merajuk, kalah perempuan anak lima. Apa yang dia nak?

Kelmarin dia tak merajuk. Dia dan kekasihnya pergi shopping di pasaraya yang terdekat. Dia di sebelah kiri, kekasihnya itu di sebelah kanan. mereka berjalan tidak berpimpinan tangan. Bukan muhrim, katanya. Maka, singgahlah mereka di sebuah kedai menjual barang permainan. Terjumpalah kekasihnya itu dengan seorang sahabt lama sewaktu di tingkatan tiga dahulu. Berbual-bual. "Sekejap aje" katanya. Berbual-bual. "Sekejap jer lagi". Berbual-bual. "Sekejap lagi yer sayang". Berbual-bual.

Dia mula merajuk. Kekasihnya lansung tidak menghiraukan dia yang berdiri di sebelah kiri kekasihnya itu. Kekasihnya lansung tidak menyedari betapa lamanya mereka di situ. Kekasihnya lansung tidak menyedari yang dia sudah pun kelaparan yang amat sangat. Dia memang merajuk. Merajuk dengan sifat keramahan yang terlampau oleh kekasihnya itu. Dia pun berlalu pergi tanpa pedulikan kekasihnya itu yang masih berbual-bual dengan rakan.

Tadi, kekasihnya cuba memujuk. Kekasihnya memohon maaf yang teramat sangat kepada dia. Dan sekarang, dia sudah kembali ceria. Dia sudah tidak merajuk lagi. Kenapa tidak merajuk lagi? Kerana kekasihnya sudah pandai memujuk.

Semut, dia dan pak cik lucah

Dulu, semasa dia masih ingusan. Ada seorang pak cik yang juga kawan kepada ayah dia. Pak cik ini suka sangat membuat cubaan untuk memegang dia punya anu. Maka, baliklah dia, dan diceritakan kepada ayahnya tentang apa yang selalu berlaku.

"Nanti kau tanya pak cik tu, pak cik ni nak pegang-pegang orang punya ni kenapa? Pak cik punya takder ker?" ayah dia.

Dia yang masih ingusan, hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju dengan cadangan ayahnya itu.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun.
Kini, dia susah dewasa dan sesekali dia akan pulang ke kampung untuk melawat orang tuanya. Dan sesekali juga dia akan terjumpa dengan pak cik yang selalu mencuba memegang anunya itu. Namun, pak cik itu sudah tidak mengulangi perbuatan lama tersebut.

Di dalam hatinya berbisik, mungkin anu pakcik tu dah ada kot?

Kisah itu sewaktu dia masih ingusan dulu. Dulu.

Semut, dia dan bosan

Dia mundar-mandir di ruang tamu. Matanya memandang semua benda yang ada di persekitaran. Lengang tanpa ada seorang insan pun yang sudi menjadi teman untuk dia berbicara. Dia duduk di atas sofa yang berbalutkan kain kuning dan berkaki besi empat penjuru. Di hadapannya ada televisyen yang masih bersuara. Dia bosan.

Televisyen dimatikan. Rokok dicapai. Kunci motosikalnya juga dicapai. Tidak dilupakan dengan topi keledar sebagai langkah keselamatan yang disarankan kerajaan. Ikat dengan kemas, ingatkah orang yang tersayang. Walaupun Aiman tak kesah.

Motosikal ditunggangginya. Tanpa hala tuju yang satu. Hanya untuk menghilangkan rasa kesunyian yang bersarang di dalam benak kepalanya. Matanya meliar memandang sekitar pemandangan sewaktu menunggang. Dilalui depan Kem askar udara. Terlihat beberapa orang sedang bermain sepak raga di hadapan sebuah bangunan penghuni di kawasan kem itu.

Perjalanan diteruskan lagi. Dengan kelajuan yang boleh dipintas oleh sebuah basikal, dia masih lagi meliar-liarkan matanya untuk melihat apa yang dilakukan oleh orang sekeliling. Dimasukinya satu simpang. "Pantai Bersih". Berhenti.

Ada ramai orang bermain layang-layang. Tua, muda, kanak-kanak, remaja, jantan dan betina. Eh, lelaki dan perempuan. Rokok Dunhill pek 20 itu menjadi temannya buat seketika. Dicapai sebatang, dicucuh hujungnya, disedut perlahan-lahan dan "fuuh" dihembus juga dengan penuh bergaya. Disedut perlahan-lahan dan "fuuh" dihembus juga dengan penuh bergaya lagi dan lagi. Pemerhatiannya diteruskan.

Ada kanak-kanak merengek minta dibelikan layang-layang di tepi kereta, ada pasangan kekasih bercumbu-cumbuan di tepi pokok, ada mamak penjual roti di tepi jalan, ada sekumpulan remaja sedang berkumpul di meja makan ditepi gerai laksa dan char kue teow, ada apek dan nyonya tua berjalan bersama-sama seiringan. Ada juga yang berkumpul di hadapan flat berhampiran di tempat letak kenderaan.

Tidak lama dia di situ, rasa bosan kembali menerjah ke dalam otaknya. Apa yang mereka semua ni buat? Tak menepati halwa nafsunya untuk petang itu barangkali. Dia menghidupkan enjin motosikalnya semula dan terus pulang ke rumah.

Di rumah, dia mundar-mandir di ruang tamu. Matanya memandang semua benda yang ada di persekitaran. Lengang kerana tiada seorang insan pun yang sudi menjadi teman untuk dia berbicara. Dia duduk di atas sofa yang berbalutkan kain kuning dan berkaki besi empat penjuru. Di hadapannya ada televisyen yang masih belum dihidupkan kuasanya. Dia bosan. Namun, tidak lama kerana rakannya sudah pulang dari kerja untuk diajak berbual bersama. Di ruang tamu itu.

Jumat, Maret 17, 2006

Semut, dia dan Dunhill pek 20

Inhaler di atas meja, kotak rokok 2, Dunhill pek 20. Ada satu lighter di antara Dunhill pek 20 dan tin Cocacola yang telah dibuang atasnya untuk dijadikan Ash tray. Ditambah lagi dengan bunyi-bunyian yang datang dari luar tingkap. Ada bunyi jet pejuang membuat latihan penerbangan, ada bunyi motosikal Yamaha-Honda-Suzuki, ada bunyi kereta-kereta, ada juga bunyi kucing. Eh, kucing di luar tingkap?

Jam di tenung. Sudah pukul 11 pagi. Air masih lagi tidak dijerang, nasi masih lagi belum ditanak, baju belum lagi di sidai, rumah masih belum lagi dikemas, kucing juga masih belum dimandikan. Eh, kucing tak mandi lagi?

Komputer di depan mata ditenung lama-lama. Apa harus dibuat dengan komputer ini. Semakin hari semakin kuat meragam. Makin difikirkan, makin sakit hati dibuatnya. Ada saja yang tidak kena. Keluar error message la, hang la, lambat buka program, dan macam-macam lagi keadaan komputer ni yang menyebabkan dia merasa bosan untuk menggunakannya. Rasanya seperti hendak saja digantikan dengan kucing baru. Eh, kucing baru tukar dengan komputer?

Dia masih lagi duduk di depan komputer.

Inhaler masih di atas meja, kotak rokok 2, Dunhill pek 20, satu masih belum diteroka, ash tray Cocacola masih lagi penuh sarat dengan segala macam benda, bunyi-bunyian masih kedengaran di luar tingkap dan bunyi kucing itu bukan dari luar tingkap, tetapi dari luar pintu bilik dia. Oh, kucing-kucing tu lapar agaknya.